Selasa, 23 Februari 2010

YUSOF GHANI…SUDAH LETIH MEMPROTES


YUSOF GHANI…SUDAH LETIH MEMPROTES
Oleh SITI ROHAYAH ATTAN
UTUSAN MALAYSIA SABTU 18 OKTOBER 1997
Catan-catan yang kelihatan resah dan gelisah, jalinan warna yang gelap, kasar serta ganas atau apa saja yang menampakkan unsur-unsur protes pernah menjadi idea utama pelukis terkenal Yusof Ghani.
Banyak perkara yang mengikat Yusof untuk melahirkan perasaan itu termasuklah ketidakseimbangan hidup, kemiskinan, penyelewengan kuasa dan rasuah.
Dalam erti kata lain, ia adalah gambaran perasaan yang berbagai sebagai tindakan kritikan sosial. Emosi keras Yusof ketika itu banyak dipengaruhi oleh kehidupan masa kecilnya di samping situasi pembelajarannya di Amerika. Beliau melibatkan diri dengan kumpulan pelukis radikal di Washington DC yang sentiasa bersifat mengkritik.
Tanggapannya, seni bukan sahaja melahirkan catan yang cantik tetapi tidak memberi kepuasan, malahan ia harus lebih daripada itu. Ia perlu membuat manusia berfikir tentang kehidupan manusia, tingkahlaku dan sebagainya.
Bagaimanapun, apabila Yusof kembali semula ke tanah air pada 1984, serta merta sikapnya berubah. Beliau menjadi sedikit berlembut dengan emosinya dan memperkenalkan siri baru iaitu Siri Tari.
Pendekatan siri baru ini cukup berbeza dengan catan-catan protes yang Yusof perjuangkan selama ini. Sekalipun masih menekankan kritikan sosial, siri Tari membawa pendekatan yang tidak begitu keras sebaliknya tarikan digunakan sebagai simbol tentang perilaku manusia.
“Kadangkala hidup ini merupakan satu tarian, kita bergerak tidak tentu hala tetapi masih mendapat nikmat darinya,” katanya.
Menurut Yusof, terdapat dua sebab mengapa beliau melakukan perubahan dalam karya-karyanya. Pertama, beliau merasakan catan-catan protes tidak begitu sesuai dengan keadaan di Malaysia pada 1995 di mana kebanyakan pelukis ketika itu sibuk mencari identiti seni Malaysia.
“Keduanya, saya sudah mula merasa letih dengan lukisan protes. Tidak seperti sesentengah pelukis lain yang berpuas hati dengan pendekatan yang sama dalam karya mereka, saya menganggap pembikinan catan-catan sebagai satu cabaran.”
“Peringkat awal merupakan satu pergelutan. Peringkat tersebut banyak memerlukan tenaga dan kadangkala hasilnya mengecewakan tetapi protes tersebut seronok. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun ia menjadi ‘ala bisa tegal biasa’ lantas keinginan untuk mencuba yang baru mula timbul,” katanya.
Selepas Siri Tari, Yusof beralih pula ke Siri Topeng. Siri ini menggunakan topeng sebagai komentar tentang sifat manusia yang suka menggunakan topeng untuk mencerminkan imej yang ingin dipamerkan kepada orang lain. Topeng boleh diberikan sebagai tanggapan sama ada bersifat positif, negatif atau sebaliknya bergantung kepada tujuannya.
Namun, keterbatasan terhadap topeng memberi ruang kepada Yusof untuk sekali lagi beralih arah.
Terbaru, beliau memilih konsep yang lebih global dan luas iaitu wayang. Bagi Yusof, Siri Wayang sangat memerangsang yang mana ia adalah himpunan pengalaman dalam berkarya untuk beberapa tahun. Ia menampakkan kematangannya dalam berkarya.
“Wayang adalah lakonan. Shakespeare pernah berkata, ‘dunia ini satu pentas dan manusia hanya lakonan’. Siri ini merupakan satu kenyataan sosial yang kukuh.”
“Dari segi formalistik pula, ada satu pentas dalam tiap-tiap catatan wayang. Saya mengolahkan ruang dan menggabungkannya dengan elemen pergerakan,” kata Yusof.
Katanya, wayang tidak terhad seperti topeng kerana banyak perkara yang boleh diperkatakan. Ini kerana beliau tidak terkongkong kepada wayang-wayang di Malaysia saja malah meliputi Nusantara, Sri Lanka dan Jepun.
Yusof yang sedang mengadakan pameran di Artist Colony Taman Bunga Raya , Taman Tasek Perdana, Kuala Lumpur menghimpunkan hasil kerjanya selama 10 tahun dari 1987 hingga kini. Turut dipamerkan sebanyak 45 karya iaitu lukisan Siri Tari dari 1987 hingga 1992, Siri Topeng dari 1992 hingga 1996 dan yang terbaru ialah Siri Wayang.
Pameran karya Yusof ini diadakan serentak di Artist Colony, Galeri Citra di Shangri La dan pada akhir bulan ini di Johnson Jenkins Gallery di San Francisco.
Yusof juga mungkin menjadi pelukis pertama Malaysia yang menghasilkan video berbentuk seni halus yang berjudul Wayang-Segerak. Ia menceritakan yang baik berlawanan dengan yang jahat. Idea, konsep dan latar lukisan bagi video ini disediakan oleh Yusof.
Video selama 15 minit ini menggabungkan pelbagai genre iaitu seni tampak, seni persembahan, seni muzik dan puisi.
Yusof dilahirkan pada 1950 di Johor Bharu. Beliau mendapat pendidikan peringkat sarjana pada 1981 dalam bidang Seni Halus (Lukisan Grafik) di George Mason University, Virginia, Amerika Syarikat.
Dua tahun selepas itu beliau menyambung di peringkat master dalam Seni Halus (Lukisan) di Catholic University of Amerika, Washington Dc, Amerika Syarikat.
Beliau telah menghasilkan dua buah buku yang berkaitan dengan lukisan iaitu Yusof Ghani:Siri Tari-Topeng dan Yusof Ghani-Drawing. Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Rusli Hashim Fine Art.
(Diselenggara oleh Mohamed Noor Othman 24 Februari 2010)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan