Khamis, 25 Februari 2010

PEMAHAMAN BONSAI SATU ESTETIKA CETEK




PEMAHAMAN BONSAI SATU ESTETIKA CETEK
OLEH: HISHAMUDDIN RAIS
BERITA MINGGU, AHAD, 21 DISEMBER 1997


EMOSI, sensitiviti, harapan, mimpi dan angan-angan, khayalan anggota masyarakat boleh direalisasikan oleh modal. Modal yang kini berleluasan tidak lagi menemui apa-apa rintangan. Modal kini berjaya menggariskan pelbagai bentuk pandangan untuk mencanai cita rasa masyarakat.

Fungsi pekerja seni yang sepatutnya mengasak harapan dan cita-cita anggota masyarakatnya kini cuma berjaya melahirkan contoh harapan. Individu tidak berupaya lagi menjadikan harapan mereka satu kenyataan tanpa sokongan modal.

Harapan dan imaginasi pekerja seni akan diambil alih oleh modal. Modal akan menguruskan kelicinan pengeluaran. Jentera adalah sebahagian daripada modal. Ia akan dapat memperluaskan kreativiti individu tadi dengan syarat harapan kreativiti atau imaginasi anggota masyarakat ini akan membawa keuntungan. Cita-cita untuk menyemarakkan suasana, menyeri atau merayakan kehidupan estetika masyarakat kini beralih untuk membina dana keuntungan. Kelihatan jentera yang membantu manusia untuk meraih peluang dan masa kini berfungsi pula memperluaskan estetika.

Dalam satu segi, jentera membantu mendemokrasikan banyak bentuk dan objek baru yang dibuat untuk keselesaan manusia. Manusia moden semakin selesa dengan hidupnya. Kerusi, meja, pinggan mangkuk dan tempat tinggal boleh disediakan dengan banyak dan cepat oleh jentera. Tetapi objek keperluan manusia ini tidak lagi direka dengan penuh cita rasa. Objek ini dinilai dengan keuntungan maka yang lahir bukanlah keselesaan hidup tetapi satu ilusi dan mimpi yang sedang membawa manusia kepada kegelapan.

Kegelapan ini menimbulkan suasana sosial sebuah masyarakat bonsai. Bonsai di sini bermakna daya fikir masyarakat itu terbantut. Samalah seperti pokok bonsai yang ditanam di mana akar pokok ini dihadkan perkembangannya. Pokok ini kelihatan hidup bernafas tetapi terhad oleh lingkungan pasu yang memagari agar untuk berkembang luas. Dalam masyarakat bonsai yang menjadi pasu untuk memagari daya fikir anggota masyarakat adalah suasana sosial yang mencengkam yang mendapat sokongan modal. Suasana sosial menjadi satu kepungan yang maha luas sehingga seluruh anggota masyarakat tidak lagi dapat memecahkan pagar sosial untuk berfikir.

Estetika plastik juga bersandar kuat dalam suasana masyarakat bonsai. Dua unsur ini saling membantu. Kewujudan unsur ini sama seperti isi dengan kuku. Tidak diketahui apa yang mempengaruhi siapa. Adakah masyarakat bonsai yang melahirkan estetika plastik atau estetika plastik yang melahirkan masyarakat bonsai. Yang penting untuk difahami ialah keadaan ini memenjarakan anggota masyarakat daripada dapat merealisasikan potensi kemanusiaan untuk memajukan masyarakat dan mendalangi kelahiran madani.

Inilah krisis yang dihadapi oleh pekerja seni. Tugas utama mereka adalah mecahkan bingkai sosial masyarakatnya dan menunda anggota masyarakat untuk maju dan meninggikan lagi taraf kemanusiaan mereka. Perhatikan bagaimana seorang pereka bentuk sebuah bangunan terus berkonflik dengan modal dalam usaha untuk melahirkan ciptaan kreatif harapannya. Beliau berusaha mereka sebuah bangunan yang selesa dan berestetika untuk kegunaan anggota masyarakat.

Tapi lihatlah hasilnya, yang didirikan adalah rumah pangsa yang sempit, hodoh dan melanggar seluruh estetika tanpa keselesaan hidup. Konflik harapan seorang pekerja seni dihancurkan modal yang bersandarkan keuntungan. Reka bentuk yang dicipta melarikan diri daripada estetika yang dapat melahirkan nikmat pandang. Cita-cita awal ahli seni ini terbantut. Harapan kreatif untuk mencipta sesuatu untuk anggota masyarakat gagal. Harapan dan imaginasi tidak mencapai matlamat asal.

Konflik seperti ini berterusan dalam pelbagai hal yang bersangkutan dengan seni. Pekerja seni yang mementingkan estetika untuk membina harapan bangsanya terus menemui rintangan daripada modal. Untuk ini kita dapat melihat bangunan yang direka bukan untuk keselesaan pandangan mata tetapi dibuat untuk mendapatkan keuntungan maksima. Oleh itu, lahirlah satu interpretasi baru mengenai apa yang cantik, indah dan berestetika. Interpretasi ini sebenarnya songsang dan juling kerana landasan ukurannya tidak bersandar kepada manusia sebagai unsur yang diutamakan tetapi keuntungan.

Interpretasi ini cukup cetek ukurannya. Kefahaman yang cetek dan pandangan yang juling ini tidak dapat merentas untuk melihat bahawa sesuatu kerja kreatif tanpa diukur dengan wang ringgi. Kegagalan untuk menilai sesuatu objek, struktur atau apa saja bentuk seni secara ini terus membongsaikan lagi masyarakat. Lihatlah bagaimana bangunan lama diruntuhkan kerana dihitungkan ianya tidak lagi membawa keuntungan berbanding jika didirikan sebuah gedung yang lebih besar dan tinggi. Fungsi bangunan ini cuma dilihat dari segi untung rugi tetapi tidak dinilai dari segi pensejarahan, ingatan kolektif atau maknanya kepada anggota masyarakat di sekeliling.

Jika ada bangunan lama dipulihkan, ia berdasarkan harapan pelancong berkunjung dan berbelanja. Tidak pernah diambil kira atau dilihat bangunan itu sebagai satu kesinambungan pensejarahan bangsa. Ada tempat yang boleh merayakan kehidupan. Kefahaman yang cetek inilah melahirkan suasana bonsai. Tidak wujud daya fikir untuk melihat estetika yang menyeluruh dan meluas untuk memahami sesuatu dengan lebih mendalam. Pandangan mata hanya berupaya melihat pinggiran yang superfisial (tidak mendalam, cetek hanya dikupas pada bahagian atas. Menimbulkan gambaran palsu tentang keadaan sebenar). Kadangkala pandangan seperti ini cuma dapat melihat bentuk tetapi gagal untuk melihat isi.

Melihat isi dan makna memerlukan daya fikir. Sebuah masyarakat bonsai tidak ada keupayaan berbuat demikian. Mereka Cuma memiliki pandangan yang superfisial yang kini kelihatan menjadi induk dalam kehidupan mereka. Pandangan ini mengagungkan bentuk atau bingkai lebih daripada isi. Kegagalan melihat essence atau inti yang wujud dalam menimbulkan satu keinginan menjadi pemilik bingkai itu. Memiliki bingkai ditafsirkan sama seperti memahami erti bentuk bingkai itu.

Seterusnya, anggota masyarakat yang pudar rasa estetikanya berlumba memiliki benda dengan harapan benda ini dapat meninggikan lagi taraf kemanusiaan mereka.

Keupayaan memiliki kini dianggap sama seperti keupayaan mencipta. Awalannya, mencipta diberi penghormatan yang tinggi atas daya fikir dari kreativiti si pembuat. Ukuran ini semakin berubah. Nilai baru sudah dimunculkan. Status pemilikan yang bersandar kuat dengan daya beli kini dapat penghormatan. Si pemilik mungkin tidak tahu menahu mengenai makna benda atau objek yang dimiliki tetapi kerana beliau memiliki benda itu maka si pemilik menuntut agar dirinya diberi penghormatan.

Anggota sebuah masyrakat bongsai tidak mungkin dapat melahirkan yang baru. Daya kreativiti yang akarnya terpagar pasti tidak berani cuba atau bereksprimen untuk melahirkan satu kerja seni yang masih belum wujud.

Oleh kerana tidak berkeupayaan mewujudkan yang baru akhirnya yang direka hanya bentuk yang ditiru. Peniruan ini juga dibuat secara juling tanpa pemahaman yang mendalam. Peniruan seperti ini menjadi sebahagian daripada darah daging estetika plastik.

Apakah estetika plastik dan masyarakat bongsai ini akan berterusan?

Jawapannya bergantung kuat kepada keupayaan pekerja seni untuk berfikir. Pekerja seni yang tulen dan ikhlas adalah mereka yang tidak dapat menerima kewujudan yang sedang wujud. Dari sudut sejarah, perkembangan tamadun manusia cuma mereka yang berani mencuba yang baru yang dapat memecahkan pasu yang memagari daya fikir anggota masyarakatnya.

Kreativiti pekerja seni wajib terus memeranjatkan anggota masyarakatnya. Apa yang memeranjatkan anggota masyarakat hari ini akan menjadi suatu kebiasaan pada esoknya. Apa yang avant-garde hari ini akan diterima sebagai satu kebiasaan saja. Lihatlah imej iklan atau klip video lagu yang muncul di televisyen kini. Dulu, imej seperti ini cuma dihasilkan oleh pembuat imej golongan avant-garde. Hari ini bukan sahaja diterima umum malah imej ini dapat difahami oleh masyarakat.

Kerja baru yang diteroka seharusnya dapat memperlihatkan kemungkinan yang baru juga. Kebosanan yang mereka hadapi tidak seharusnya mematahkan daya cipta. Suasana bonsai yang wujud patut menjadi daya penggalak dalam semua aktiviti mereka. Pekerja seni dalam karya mereka patut dapat mengembalikan erti kemanusiaan yang amat diperlukan dalam sebuah masyarakat bonsai.

Cita-cita awal manusia semasa meninggalkan gua batu dan merentas masuk ke dalam era moden atau pasca moden ini masih belum tercapai. Roda yang dicipta untuk membawa manusia lebih jauh dari tempat asal mereka kini kelihatan sebagai musuh. Jentera yang dibuat untuk memperbaiki kehidupan kini beralih menjadi sebahagian daripada modal. Masa yang sepatutnya menjadi waktu untuk berkarya dan menikmati hidup yang seni dirampas kembali oleh modal.

Dalam suasana kecanggihan teknologi, seniman masih ada harapan dan imaginasi untuk anggota masyarakatnya. Mungkin anggota masyarakatnya ditenggelami oleh wabak ‘memiliki yang baru’ tetapi agenda dan cita-cita seniman tidak pernah berubah. Seniman, petukang atau artisan memiliki sensitiviti dan imaginasi yang tinggi. Sensitiviti mereka untuk melihat, memerhati dan meneroka yang memisahkan mereka daripada anggota masyarakat yang bonsai.
Petikan dari keratan akhbar Berita Minggu, Ahad, 21 Disember 1997

Selasa, 23 Februari 2010

YUSOF GHANI…SUDAH LETIH MEMPROTES


YUSOF GHANI…SUDAH LETIH MEMPROTES
Oleh SITI ROHAYAH ATTAN
UTUSAN MALAYSIA SABTU 18 OKTOBER 1997
Catan-catan yang kelihatan resah dan gelisah, jalinan warna yang gelap, kasar serta ganas atau apa saja yang menampakkan unsur-unsur protes pernah menjadi idea utama pelukis terkenal Yusof Ghani.
Banyak perkara yang mengikat Yusof untuk melahirkan perasaan itu termasuklah ketidakseimbangan hidup, kemiskinan, penyelewengan kuasa dan rasuah.
Dalam erti kata lain, ia adalah gambaran perasaan yang berbagai sebagai tindakan kritikan sosial. Emosi keras Yusof ketika itu banyak dipengaruhi oleh kehidupan masa kecilnya di samping situasi pembelajarannya di Amerika. Beliau melibatkan diri dengan kumpulan pelukis radikal di Washington DC yang sentiasa bersifat mengkritik.
Tanggapannya, seni bukan sahaja melahirkan catan yang cantik tetapi tidak memberi kepuasan, malahan ia harus lebih daripada itu. Ia perlu membuat manusia berfikir tentang kehidupan manusia, tingkahlaku dan sebagainya.
Bagaimanapun, apabila Yusof kembali semula ke tanah air pada 1984, serta merta sikapnya berubah. Beliau menjadi sedikit berlembut dengan emosinya dan memperkenalkan siri baru iaitu Siri Tari.
Pendekatan siri baru ini cukup berbeza dengan catan-catan protes yang Yusof perjuangkan selama ini. Sekalipun masih menekankan kritikan sosial, siri Tari membawa pendekatan yang tidak begitu keras sebaliknya tarikan digunakan sebagai simbol tentang perilaku manusia.
“Kadangkala hidup ini merupakan satu tarian, kita bergerak tidak tentu hala tetapi masih mendapat nikmat darinya,” katanya.
Menurut Yusof, terdapat dua sebab mengapa beliau melakukan perubahan dalam karya-karyanya. Pertama, beliau merasakan catan-catan protes tidak begitu sesuai dengan keadaan di Malaysia pada 1995 di mana kebanyakan pelukis ketika itu sibuk mencari identiti seni Malaysia.
“Keduanya, saya sudah mula merasa letih dengan lukisan protes. Tidak seperti sesentengah pelukis lain yang berpuas hati dengan pendekatan yang sama dalam karya mereka, saya menganggap pembikinan catan-catan sebagai satu cabaran.”
“Peringkat awal merupakan satu pergelutan. Peringkat tersebut banyak memerlukan tenaga dan kadangkala hasilnya mengecewakan tetapi protes tersebut seronok. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun ia menjadi ‘ala bisa tegal biasa’ lantas keinginan untuk mencuba yang baru mula timbul,” katanya.
Selepas Siri Tari, Yusof beralih pula ke Siri Topeng. Siri ini menggunakan topeng sebagai komentar tentang sifat manusia yang suka menggunakan topeng untuk mencerminkan imej yang ingin dipamerkan kepada orang lain. Topeng boleh diberikan sebagai tanggapan sama ada bersifat positif, negatif atau sebaliknya bergantung kepada tujuannya.
Namun, keterbatasan terhadap topeng memberi ruang kepada Yusof untuk sekali lagi beralih arah.
Terbaru, beliau memilih konsep yang lebih global dan luas iaitu wayang. Bagi Yusof, Siri Wayang sangat memerangsang yang mana ia adalah himpunan pengalaman dalam berkarya untuk beberapa tahun. Ia menampakkan kematangannya dalam berkarya.
“Wayang adalah lakonan. Shakespeare pernah berkata, ‘dunia ini satu pentas dan manusia hanya lakonan’. Siri ini merupakan satu kenyataan sosial yang kukuh.”
“Dari segi formalistik pula, ada satu pentas dalam tiap-tiap catatan wayang. Saya mengolahkan ruang dan menggabungkannya dengan elemen pergerakan,” kata Yusof.
Katanya, wayang tidak terhad seperti topeng kerana banyak perkara yang boleh diperkatakan. Ini kerana beliau tidak terkongkong kepada wayang-wayang di Malaysia saja malah meliputi Nusantara, Sri Lanka dan Jepun.
Yusof yang sedang mengadakan pameran di Artist Colony Taman Bunga Raya , Taman Tasek Perdana, Kuala Lumpur menghimpunkan hasil kerjanya selama 10 tahun dari 1987 hingga kini. Turut dipamerkan sebanyak 45 karya iaitu lukisan Siri Tari dari 1987 hingga 1992, Siri Topeng dari 1992 hingga 1996 dan yang terbaru ialah Siri Wayang.
Pameran karya Yusof ini diadakan serentak di Artist Colony, Galeri Citra di Shangri La dan pada akhir bulan ini di Johnson Jenkins Gallery di San Francisco.
Yusof juga mungkin menjadi pelukis pertama Malaysia yang menghasilkan video berbentuk seni halus yang berjudul Wayang-Segerak. Ia menceritakan yang baik berlawanan dengan yang jahat. Idea, konsep dan latar lukisan bagi video ini disediakan oleh Yusof.
Video selama 15 minit ini menggabungkan pelbagai genre iaitu seni tampak, seni persembahan, seni muzik dan puisi.
Yusof dilahirkan pada 1950 di Johor Bharu. Beliau mendapat pendidikan peringkat sarjana pada 1981 dalam bidang Seni Halus (Lukisan Grafik) di George Mason University, Virginia, Amerika Syarikat.
Dua tahun selepas itu beliau menyambung di peringkat master dalam Seni Halus (Lukisan) di Catholic University of Amerika, Washington Dc, Amerika Syarikat.
Beliau telah menghasilkan dua buah buku yang berkaitan dengan lukisan iaitu Yusof Ghani:Siri Tari-Topeng dan Yusof Ghani-Drawing. Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Rusli Hashim Fine Art.
(Diselenggara oleh Mohamed Noor Othman 24 Februari 2010)

Isnin, 28 September 2009

MATA YANG MEMERHATI KARYA BERTAHAP KOSONG

SUATU dialog yang diperhati oleh mata dan telinga yang mendengar. Lantas dapat ditangkap akhirnya dialog yang agak kabur kerana isi dialognya tentang karya bertahap kosong.
Dialognya berkenaan hasil seni tampak. Isinya ada sedikit huraian tersirat dan tersurat. Mata yang memerhati menafsirkan dialog insan seni itu sebenarnya mengajak orang ramai berfikir apa yang terserlah dan terselindung di sebalik warna, jalinan, simbol dan ruang.
Cara karya itu di ketengahkan bertitik-tolak dari dalam diri peribadi, malah turut dikongsi oleh rasa hati, gerak batin, gerak minda dan pengalaman hidup. Karya sebegini dalam dialog yang diperhati oleh mata yang memerhati mampu mencabar pemikiran dan terisi sebagai karya yang bukan bertahap kosong.
Mata yang memerhati menganggap setiap pelukis yang asyik berdialog itu ada memiliki ciri-ciri berikut:
1. Dapat memberi kesegaran idea dan dapat menyahut cabaran-cabaran masa kini.
2. Memberi dan menerima di antara satu dengan lain.
3. Saling menghargai nilai seni dan menghormati hasil karya orang lain.
4. Sentiasa mencabar idea-idea baru.
5. Berkesanggupan menimba ilmu dan meneroka pemikiran futuristik.
6. Dapat dijadikan contoh kepada pelukis-pelukis baru.
7. Boleh di ketengahkan setaraf dengan karya-karya pelukis establish.
8. Sentiasa berada dalam kelompok pelukis-pelukis establish dalam setiap pameran yang
berlangsung.
Akhirnya mata yang memerhati menangkap dialog seterusnya. "Seorang perlu ada kelainan dengan pelukis-pelukis lain sehingga membawa sifat keindividuan dalam identitinya tersendiri. Ada nilai unik dalam berkarya. Ada pemilihan bahan yang membantu mengenengahkan idea hingga mendahului orang lain dan konsisten dengan gaya sendiri. Nilai serta prinsip yang dibawa sentiasa ada dalam hasil karya yang melambangkan peribadi, identiti dan sekaligus keindividuannya berjaya mengumpul pengikutnya yang tersendiri".
Selanjutnya mata yang memerhati, menganggap karya bertahap kosong tidak mampu melepasi sempadan streotape. Karya yang tiada pengisian, karya yang terikat dengan peniruan alam semata-mata dan tidak mampu melepasi sempadan dan dimensi baru. Akhirnya karya bertahap kosong tidak dapat menghadirkan dirinya bersama arus semasa dan terus berada dalam kepompong lama.
Salah seorang pelukis yang berada dalam kelompok pelukis-pelukis lain berdiri dan menyuarakan pendapatnya. "Saya berpendapat untuk melukis alam semulajadi, ia bukan sekadar peniruan objek. Malah kesedaran dalam alam realiti perlu ditambah suatu yang baru, ada pengubahsuaian. Ada unsur kreativiti tersendiri dan tidak terbatas pada objek-objek alam".
Seorang lagi pelukis yang bersebelahan pelukis tadi menambah dengan suara yang tinggi. "Karya kita perlu sentiasa mencari dan meneroka sesuatu yang baru dan cuba menemukan sesuatu yang pelik, aneh dalam ertikata baru. Sama ada suatu yang sedia ada dan pernah dilihat atau suatu keanehan yang selama ini tidak terfikir oleh sesiapa".
Sambil membetulkan cermin matanya, "Untuk melarikan diri dari hasil karya yang menjemukan, maka kebebasan itu penting dijadikan nilai untuk menuju tahap kreatif. Kerana dalam lukisan ada unsur yang tidak nampak tapi dapat disedari kehadirannya iaitu jiwa tampak. Ia adalah suatu unsur kerohanian yang menampilkan apa yang terasa di hati, bergerak secara murni, lurus dan jujur. Kebebasan itu membawa jiwa tampak dan dapat membantu penghasilan karya kita berkesudahan dengan idea baru yang sentiasa segar".
Entah dari mana datangnya satu suara, "Sekurang-kurangnya tidak tercemar kanvas kita dengan palitan warna yang tidak membawa apa-apa erti. Sekurang-kurangnya audien tidak menilai dan mengkategorikan kita sebagai 'pelukis gila dengan karyanya yang sasau'.