Isnin, 28 September 2009

MATA YANG MEMERHATI KARYA BERTAHAP KOSONG

SUATU dialog yang diperhati oleh mata dan telinga yang mendengar. Lantas dapat ditangkap akhirnya dialog yang agak kabur kerana isi dialognya tentang karya bertahap kosong.
Dialognya berkenaan hasil seni tampak. Isinya ada sedikit huraian tersirat dan tersurat. Mata yang memerhati menafsirkan dialog insan seni itu sebenarnya mengajak orang ramai berfikir apa yang terserlah dan terselindung di sebalik warna, jalinan, simbol dan ruang.
Cara karya itu di ketengahkan bertitik-tolak dari dalam diri peribadi, malah turut dikongsi oleh rasa hati, gerak batin, gerak minda dan pengalaman hidup. Karya sebegini dalam dialog yang diperhati oleh mata yang memerhati mampu mencabar pemikiran dan terisi sebagai karya yang bukan bertahap kosong.
Mata yang memerhati menganggap setiap pelukis yang asyik berdialog itu ada memiliki ciri-ciri berikut:
1. Dapat memberi kesegaran idea dan dapat menyahut cabaran-cabaran masa kini.
2. Memberi dan menerima di antara satu dengan lain.
3. Saling menghargai nilai seni dan menghormati hasil karya orang lain.
4. Sentiasa mencabar idea-idea baru.
5. Berkesanggupan menimba ilmu dan meneroka pemikiran futuristik.
6. Dapat dijadikan contoh kepada pelukis-pelukis baru.
7. Boleh di ketengahkan setaraf dengan karya-karya pelukis establish.
8. Sentiasa berada dalam kelompok pelukis-pelukis establish dalam setiap pameran yang
berlangsung.
Akhirnya mata yang memerhati menangkap dialog seterusnya. "Seorang perlu ada kelainan dengan pelukis-pelukis lain sehingga membawa sifat keindividuan dalam identitinya tersendiri. Ada nilai unik dalam berkarya. Ada pemilihan bahan yang membantu mengenengahkan idea hingga mendahului orang lain dan konsisten dengan gaya sendiri. Nilai serta prinsip yang dibawa sentiasa ada dalam hasil karya yang melambangkan peribadi, identiti dan sekaligus keindividuannya berjaya mengumpul pengikutnya yang tersendiri".
Selanjutnya mata yang memerhati, menganggap karya bertahap kosong tidak mampu melepasi sempadan streotape. Karya yang tiada pengisian, karya yang terikat dengan peniruan alam semata-mata dan tidak mampu melepasi sempadan dan dimensi baru. Akhirnya karya bertahap kosong tidak dapat menghadirkan dirinya bersama arus semasa dan terus berada dalam kepompong lama.
Salah seorang pelukis yang berada dalam kelompok pelukis-pelukis lain berdiri dan menyuarakan pendapatnya. "Saya berpendapat untuk melukis alam semulajadi, ia bukan sekadar peniruan objek. Malah kesedaran dalam alam realiti perlu ditambah suatu yang baru, ada pengubahsuaian. Ada unsur kreativiti tersendiri dan tidak terbatas pada objek-objek alam".
Seorang lagi pelukis yang bersebelahan pelukis tadi menambah dengan suara yang tinggi. "Karya kita perlu sentiasa mencari dan meneroka sesuatu yang baru dan cuba menemukan sesuatu yang pelik, aneh dalam ertikata baru. Sama ada suatu yang sedia ada dan pernah dilihat atau suatu keanehan yang selama ini tidak terfikir oleh sesiapa".
Sambil membetulkan cermin matanya, "Untuk melarikan diri dari hasil karya yang menjemukan, maka kebebasan itu penting dijadikan nilai untuk menuju tahap kreatif. Kerana dalam lukisan ada unsur yang tidak nampak tapi dapat disedari kehadirannya iaitu jiwa tampak. Ia adalah suatu unsur kerohanian yang menampilkan apa yang terasa di hati, bergerak secara murni, lurus dan jujur. Kebebasan itu membawa jiwa tampak dan dapat membantu penghasilan karya kita berkesudahan dengan idea baru yang sentiasa segar".
Entah dari mana datangnya satu suara, "Sekurang-kurangnya tidak tercemar kanvas kita dengan palitan warna yang tidak membawa apa-apa erti. Sekurang-kurangnya audien tidak menilai dan mengkategorikan kita sebagai 'pelukis gila dengan karyanya yang sasau'.